Kesihatan, Penjagaan Kucing

31 Tips Hilangkan Bau Busuk Kucing dalam Rumah

31 Tips Mudah Hilangkan Bau Busuk Kucing dalam Rumah.

“Busuuuuk . . . busuuk . . . busuk . . .”

“Kenapa rumah auntie bau busuk?”

“Aku tak minat la duduk rumah kau lama-lama. Tak tahan bau busuk menyengat.”

Berderau jantung.
Dup-dap-dup-dap-dup-dap jantung berdegup.

Laju macam jet pejuang.

Bukan sebab gemuruh, tetapi sebab hati panas.

Panas telinga.
Panas hati.
Panas jiwa raga.

Atau,

Panas tangan rasa macam nak pang sahaja?

Bukan sekadar dikomen tetamu, tetapi mungkin datang dari ahli keluarga.

Apa nak buat?

Pertama sekali:
Memang terguris hati dan perasaan.

Kedua:
Mungkin ada benarnya di situ.

Jadi, tenang-tenang dahulu.

Mungkin perkongsian kali ini boleh menyelesaikan masalah anda.
Mahu hilangkan bau busuk kucing dalam rumah.

Dibawakan khas buat anda, mamy daddy atok opah acik ankel ibu babah, yang terpilih dikurniakan kucing kesayangan sebagai penyeri hidup.

31 Tips Hilangkan Bau Busuk Kucing Dalam Rumah

PENGUDARAAN YANG BAIK

1. Guna Penapis Udara

Penapis udara bukan sekadar menghilangkan menghilangkan bau.
Malah, memberikan pengudaraan yang lebih baik.
Dan membersihkan udara yang disedut setiap hari.

Udara bersih dan segar buat anda serta kucing kesayangan.

Semestinya, anda boleh memilih penyembur wangian dan deodorizer bagi mengawal masalah bau busuk ini.

Tetapi, penapis udara yang bagus ada satu kelebihan utama berbanding yang lain.
Ia memberi khidmat 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 365 hari setahun tanpa jemu.

Membersih udara, membasmi bau, serta meningkatkan kualiti udara dan bau, di dalam rumah anda.

 

2. Pasang Kipas

Jika bilik kucing itu jenis tertutup, sekurang-kurangnya perlu ada kipas angin.
Kipas angin yang berfungsi dan digunakan.

Supaya ada aliran udara.
Dan bilik tidak berkuap.

Udara juga tidak terperap dengan bau yang kurang enak tersebut.

Sekurang-kurangnya mengurangkan bau.

 

3. Buka Tingkap

Buka tingkap juga akan meningkatkan pengudaran yang lebih baik.

Tetapi:
Tingkap adalah selamat.

Selamat dari kucing terlepas keluar.
Mungkin boleh ditambah jaring pada tingkap.

Keselamatan kucing nombor 1.

 

4. Kipas Ekzos

Selain itu, memasang kipas ekzos di dalam bilik kucing juga dapat memberikan aliran udara yang lebih baik.
Kerana udara panas dan bau busuk akan disedut keluar.

Kucing juga tiada risiko untuk terlepas keluar.

 

5. Letak Litter Box di Kawasan yang Terbuka

Anda boleh aplikasikan sekiranya anda mempunyai ruang halaman.
Di bahagian hadapan mahupun bahagian belakang boleh digunakan.

Boleh buatkan sedikit cat patio yang bersambung dengan rumah.
Supaya kucing boleh keluar semasa mahu menggunakan kotak pasir.

Atau cipta ruangan khas kucing outdoor keseluruhannya.

Sudah pasti, aliran udara di luar adalah lebih baik.
Aliran keluar masuk akan membawa keluar bawa yang tidak enak dan membawa masuk udara segar.


LITTER BOX MANAGEMENT

6. Scoop Najis Dengan Kerap Setiap Hari

Cuba periksa kotak pasir anda.

Penuh dengan najis ataupun tidak.
Bila kali terakhir ianya dibersihkan? 1 hari lepas? 2 hari lepas?

Berapa kerap anda bersihkan kotak pasir mereka?

Punca nombor satu yang menyebabkan bau busuk kucing harum semerbak di dalam rumah adalah dari kotak pasir yang tidak dibersihkan dengan kerap.

Cuba anda bayangkan.
Anda mahu ke tandas.
Belum masuk lagi sudah bau najis dan hancing.
Terus batalkan hajat dan pergi mencari tandas yang lain.

Sebabnya tak dibersihkan.

Semakin lama najis terperap di dalam kotak pasir, kemudian menjadi agen penyebar bau yang expert, semakin berbau rumah anda.

Jadi berapa kali sehari perlu bersihkan kotak najis kucing?
Minimum 2 kali sehari.
Lebih kerap lebih bagus.

Regardless of what litter type you use, eliminate the solids daily and do a complete litter change at the frequency specified by the manufacturer.

 

7. Tambah Bilangan Kotak Pasir

Mungkin ada catparent yang agak sibuk, seharian bekerja dan sebagainya.
Tiada masa mahu bersihkan kotak pasir dengan kerap.

Usah bimbang.
Ada cara lain.

Masalah kekangan masa, boleh diatasi dengan menambah bilangan kotak pasir.
Terutama sekali sekiranya anda memelihara beberapa ekor kucing.
Multicat household.

Rule of thumb yang biasa digunakan adalah
“bilangan kucing + 1”

Sebagai contoh,
Bilangan kucing peliharaan 2 –> Bilangan kotak pasir 3
Bilangan kucing peliharaan 4 –> Bilangan kotak pasir 5

Dan seterusnya.

More is better.

Kenapa?

Pertama:
Najis tidak tertumpu pada 1 atau 2 kotak pasir sahaja.
Oleh itu, bau tidak tertumpu pada satu kawasan sahaja.

Kedua:
Najis boleh dikambus dengan lebih kemas.
Oleh itu, bau ditutup dengan lebih kemas.

Katakan di rumah ada 3 ekor kucing menggunakan kotak pasir yang sama.
Si A sudah gunakan dan kambus najis dengan elok.
Sudah bagus.

Kemudian datang si B berak/kencing dan mahu kambus najisnya.
Sambil mengambus, terlanggar najis si A sehingga terkeluar dari bawah pasir.

Datang si C, nampak kotak pasir sudah penuh.
Tetapi, mahu membuang sangat-sangat.

Jadi, si C selepas membuang tidak menimbus najisnya.

Najis di luar pasir, bau juga keluar ke udara.

Jadi, cuba tambahkan bilangan litter box untuk kucing anda.

Najis dan bau akan ditutup dengan lebih kemas dan tidak merebak luas.

Ketiga:
Pasir kucing juga dapat menjalankan tugas dengan lebih effisyen kerana mempunyai amaun yang mencukupi.

 

8. Jenis Kotak Pasir

Pemilihan kotak pasir juga perlu diambil kira.

Terutamanya memelihara kucing indoor.
Kerana mereka akan menggunakannya setiap hari.

Kucing yang membuang di luar kotak pasir mungkin kerana pemilihan litter box yang tidak sesuai.

Bukan sengaja.
Mungkin tersasar dari kawasan.

Najis di luar, bau semerbak juga keluar.

Puncanya:
Terlalu kecil – untuk saiz badannya yang besar, atau
Terlalu tinggi – untuk dimasuki kucing kecil atau sakit, atau
Sisi terlalu rendah – najis tersasar keluar.

Oleh itu, cuba tukar kotak najis anda kepada yang lebih sesuai bagi menyelesaikan masalah bau busuk kucing ini.

 

9. Letak Amaun Pasir yang Baik

Cara lain untuk hilangkan bau busuk kucing adalah dengan menggunakan jumlah pasir kucing yang sesuai.

Terlalu sedikit, kucing tidak dapat menimbus najis dengan baik.

Terlalu banyak kucing mungkin tidak suka kerana kaki terbenam jauh ke dalam.
Tidak dapat nak berpijak dengan baik.

Kebiasaannya tinggi pasir kucing yang sesuai 3-4 inci dari dasar.

 

10. Letak Kotak Pasir di Beberapa Lokasi

Kucing tidak tertumpu pada satu atau dua kotak pasir sahaja.
Terutama bagi yang mempunyai beberapa ekor kucing di rumah.

Ideanya supaya bau tidak tertumpu pada satu kawasan sahaja.

Bau dapat dikeluarkan dengan baik.
Sesuai dengan pengudaraan dan saiz ruang tersebut.

 

11. Tukar Pasir Kucing

Mengapa masih ada ba yang datang dari kotak pasir walaupun sudah scoop setiap hari?

Salah satunya:
Kerana ada serpihan najis yang jatuh semula/tertinggal di dalam kotak pasir.

Oleh itu, ada masanya anda perlu menukar keseluruhan pasir tersebut dan gantikan dengan yang baru.

Persoalannya:
Berapa kerap.

Boleh buat sekali seminggu, atau dua minggu sekali atau sebulan sekali.

Tetapi, sekiranya anda kebersihan litter box dijaga dengan baik menggunakan langkah-langkah di atas, mungkin hanya cukup menukar sebulan sekali.

 

12. Bersihkan Kotak Pasir dengan Sabun & Air

Bau juga boleh melekat pada kotak pasir dan scoop.
Sebab itu ada bau yang datang dari kotak pasir.

Oleh itu, bersihkan keseluruhan kotak pasir dengan sabun dan bilas bersih dengan air.
Elakkan menggunkan bleach kerana baunya mungkin teralu kuat untuk kucing.

 

13. Jemur Kotak Pasir di bawah Matahari

Jika boleh, jemur kotak pasir di bawah cahaya matahari.

Fungsinya:
Membantu bunuh bakteria.
Dan mengurangkan bau sabun pencuci yang digunakan.

 

14. Ganti Kotak Pasir Setahun Sekali

Kebanyakan orang akan guna bekas pasir dari bahan plastik.
Kerana mudah dijaga, senang didapatkan, ringan, tahan lama.

Biasa lihat kucing semasa mahu berak dan kencing?
Mereka akan korek dan mencakar sehingga dasar.

“Baru selesa.”
(Faham pula kucing cakap ya.)

Lama-kelamaan, kesan cakaran akan timbul pada kotak pasir.
Mahu bersihkan juga lebih sukar pada kawasan tersebut.

Kerana ruang/lubang yang halus.

Menjadikan ia perangkap bakteria yang baik.
Dan perangkap bau yang ideal.

Nampak sahaja kecil.
Kekuatan bau yang dikeluarkan tiada tandingan.

Sebab itu bau tidak hilang sepenuhnya selepas dicuci.

Penyelesainnya, sental dengan cermat.
Atau lebih mudah dengan menukar kotak pasir setahun sekali atau dua tahun sekali.

Hilangkan bau busuk kucing dengan menghilangkan kotak pasir yang lama dari kawasan.

 

15. Buang dengan Segera

Apa yang buang dengan segera?
Najis kucing yang sudah dicedok keluar, buang dengan segera.

Walaupun najis sudah elok dicedok keluar,
tetapi plastiknya masih terperap di dalam rumah,
baunya juga masih terperap di dalam rumah.

 


DIET PEMAKANAN

16. Ubah Makanan Kucing

Pepatah:

“You Are What You Eat“, atau

“Anda Adalah Apa yang Anda Makan”

Juga terpakai ke atas kucing peliharaan.
Pemakanan kucing sehari-hari berkait rapat dengan hasil najis mereka.

Kibbles premium adalah lebih baik kerana kandungan bahan tambah(fillers) yang jauh lebih rendah berbanding makanan yang kurang berkualiti.

Kandungan fillers yang banyak menyebabkan bau tahi berganda busuk.

Selain itu, kucing juga akan cepat lapar walaupun makan dengan banayk.
Menjadikan jumlah najis juga banyak.

 

17. Beri Makanan Berjadual

Mempunyai rutin masa makan juga akan membantu mengatasi masalah bau busuk kucing di dalam rumah.

Adakah pelik?
Sebenarnya tidak.

Bagaimana pula tu?
Aabila mempunyai masa makan tertentu, kucing akan ada masa membuang yang tertentu.

Sedikit sebanyak menyerupai kita.
Pagi-pagi sahaja sudah sakit perut.
Sudah tahu masanya.

Kerana kita ada masa makan yang tetap.

Jadi, apa gunanya?
Anda boleh gunakan untuk kemudahan anda.

Berikan satu rutin waktu makan setiap hari buat kucing anda.
Supaya waktu anda free untuk mengemas kotak pasir mereka, mereka sudah selesai membuang.
Jadi, najis tidak lama di dalam kotak pasir.

Jika belum mempunyai rutin, boleh mulakan secara perlahan-lahan.


PRODUK PEMBERSIH

18. Gunakan Arang

Arang ini ada banyak kelebihan.
Bukan terhad untuk memanggang ayam dan kambing sahaja.

Antaranya:
Digunakan di dalam penapis air.
Digunakan di dalam penapis udara.
Dalam perubatan, digunakan untuk merawat keracunan.
Memutihkan gigi – berus gigi sekarang juga mengandungi arang.

Dan pelbagai kelebihan lain lagi.

Yang lebih menarik, arang juga boleh bantu hilangkan bau busuk kucing dalam rumah.

Arang merupakan pilihan yang bagus dalam mengatasi masalah bau kerana mempunyai rongga-rongga halus yang boleh memegang erat pelbagai bahan termasuk bau yang menjengkelkan.

Ada beberapa cara anda boleh gunakan arang ini.
Di samping mahu hilangkan bau kucing, mahu juga kelihatan kemas dan sedap mata memandang.

Pertama:
Masukkan arang di dalam beberapa bekas plastik, berpenutup.
Bekas plastik yang biasa digunakan untuk membungkus makanan.

Buatkan satu lubang agak besar pada penutup.
Dan letak berhampiran dengan kotak pasir.

Boleh juga gunakan bekas lain yang anda rasa bersesuain dengana tema ruangan tersebut.
Bekas yang tidak berpenutup juga boleh digunakan jika kucing atau kanak-kanak tidak bermain dengannya sehingga tertumpah.

Kedua:
Balut beberapa ketul arang (atau beberapa sudu serbuk arang) di dalam kain.
Bagi anda yang kreatif boleh jahit menjadi bentuk pouch yang kemas dan menarik.

Gunakan kain yang tidak terlalu tebal supaya aliran udara boleh mengalir dengan baik.

Gantung berhampiran kotak pasir.
Gantikan dengan yang baru mengikut keperluan supaya rumah anda kekal segar.

 

19. Pakai Litter Box Deodorant

Anda juga boleh menggunakan litter box deodorant untuk hilangkan bau busuk kucing tersebar ke ruang udara.

Tambahan pula, ia boleh didapati dengan mudah di kedai barangan haiwan secara offline atau online.

Caranya mudah sahaja:
Tabur di dalam litter box sebelum menambah pasir kucing yang baru.
Boleh juga ditambah di atas pasir.

 

20. Gunakan Enzymatic Cleaner/Disinfectant

Disinfectant ini ada banyak jenis.
Oleh itu, dapatkan disinfectant yang sesuai untuk kegunaan haiwan peliharaan.
Dan gunakan mengikut arahan yang diberikan untuk keberkesananan maksima.

Disinfectant boleh digunakan untuk rutin cuci lantai serta membersihkan bekas kucing kencing.

Kenapa perlu guna disinfectant berbanding sabun pencuci untuk air kencing kucing?

Perasan tak ada kotoran yang tidak boleh dibersihkan menggunakan sabun pembersih biasa.
Kerana mereka tidak boleh bersatu dengan sabun.
Jadi, sabun tidak boleh menarik kotoran itu keluar.

Disinfectant pula tidak menarik kotoran tersebut, tetapi ‘memakan’ kotoran/bakteria/kuman.
Ia akan memecahkan air kencing kucing kepada komponen yang berasingan kemudian ‘memakannya’.

Menjadikan permukaan bersih dan neutral semula.

Beberapa kali penggunaan mungkin diperlukan untuk membersihkan dengan sempurna terutama yang sudah lama.

Perkonsian yang bagus mengenai air kencing kucing dan bahan-bahan pembersih boleh klik  di sini.

 

21. Gunakan Cuka

Alternatif lain untuk bersihkan dan hilangkan bau kencing kucing adalah cuka.

Alternatif yang murah dan mudah didapati di mana sahaja.
Dan berkesan menghilangkan bau di kawasn terjejas.

Untuk lantai, dinding, anjung luar rumah dan permukaan keras:
Lap/jirus bersih dengan air biasa.
Kemudian, tuang/spray secukupnya cuka pada kawasan tersebut dan sekitarnya.
Biar kering.

Untuk permaidani, tilam, lapik kaki, langsir dan sebagainya:

(dikongsi dari blog kucingutara)

Letakan tuala lama diatas air kencing.
Gunakan pemberat (seperti bata) untuk menyerap air kencing sebanyak mungkin.
Kemudian alihkan tuala.

**Jangan biarkannya kering sendiri kerana air kencing akan merebak ke permukaan sekitar. Perlu bertindak sebelum kering**

Jika sudah kering, letakkan tuala di tempat tersebut dan tuang air panas di atasnya.
Kemudian, alihkan tuala yang sudah menyerap air kencing tersebut.

Buatkan campuran cuka dan air dengan nisbah 50:50 di dalam baldi yang kecil dan kacau rata.

Tuang campuran cuka keatas tempat yang terkena air kencing kucing sahaja dan pastikan ia tidak merebak ke kawasan lain.

Biarkan ia kering sendiri dan jangan membilasnya. Boleh juga menggunakan kipas angin untuk mempercepatkan proses pengeringan ini. Biarkannya semalaman.

Keesokkannya, sediakan campuran cuka dan air panas.

Gunakan campuran cuka panas ini untuk mencuci di tempat bekas air kencing beberapa kali dan biarkannya kering untuk beberapa jam.
**Gampuran cuka panas ini amat berkesan sekiranya menggunakan pencuci stim (steam cleaner)**

Untuk halau kucing dari kebun dan pokok bunga:
Campurkan 1:1 cuka dan air (atau 1 cuka : 2 air) di dalam penyembur.
Sembur ringan pada rumput, tanah atau batang pokok.
Jika tidak pasti kesan pada tanah/pokok, boleh cuba pada satu kawasan sahaja dahulu.

 

22. Guna Baking Soda

Baking soda boleh juga digunakan di dalam kotak pasir kucing sebagai deodorizer.

 

23. Guna Pewangi Udara yang Betul

Mungkin ramai yang akan  memilih pewangi udara untuk hilangkan bau busuk kucing di dalam rumah.
Samada jenis semburan mahupun gel.

Tetapi, bagi menyelesaikan isu bau busuk kucing di dalam rumah, pemilihan pewangi udara yang tepat adalah kuncinya.

Apa yang anda perlukan adalah pewangi udara yang menghilangkan bau busuk dengan menyerap bau tersebut.

Kebanyakan pewangi udara hanya menutup bau tersebut sahaja.
Sebab itu, bau tersebut masih kembali.
Ataupun tetap ada walaupun  2-3 pewangi sudah digunakan.

Dalam situasi tersebut, penggunaan pewangi yang salah hanya memburukkan keadaan.
Bau busuk menjadi semakin teruk.

Ianya ibarat memakai minyak wangi semas berpeluh.
Bukan membantu,malah menjadikan keadaan lebih teruk.

 

24. Gunakan Pasir Kucing yang Berkualiti

Kotak pasir adalah punca nombor 1 bau yang tidak enak tersebut.

Oleh itu, pemilihan pasir kucing yang berkualiti adalah penting.

Berkualiti dari segi:
Kapasiti penyerapan bau yang bagus.

Tidak dinafikan pasir kucing jenis crystal mempunyai kapasiti penyerapan bau yang terbaik.

Namun begitu, sekiranya anda tidak pasti, anda boleh mencuba beberapa jenis pasir kucing.
Buat sedikit test.

Untuk mencari pasir kucing yang lebih praktikal untuk anda (dan disukai kucing anda).
Dan mencari pasir kucing yang terbaik dalam mengawal bau najis kucing.

 

25. Home Improvement Project

Bagi yang berkemampuan, anda boleh buat total make over pada ruangan kucing.

Memberi cat yang baru bagi menutup bau secara keseluruhan.
Setiap inci ruang dicat, menjadikan bilik itu fresh dan asli. Atau

Menukar kepada perabot yang lebih sesuai (perabot kayu atau leather).
Pemilihn perabot dengan permukaan keras dan rata akan mengurangkan dengan ketara bulu dari melekat padanya.

Atau mungkin anda boleh menukar keseluruhan lantai juga.

Kerana proses ini akana menyingkirkan setiap inci ruang yang telah tercemar oleh bau kucing.

Adakah cara ini terlalu agresif semata-mata untuk hilangkan bau busuk kucing?
Mungkin tidak.


HOUSE KEEPING

26. Vakum

Kerja memvakum tidak akan pernah berhenti.
Terutama bagi yang memelihara kucing di rumah.

Tahukah anda vakum juga dapat bantu hilangkan bau busuk kucing dalam rumah?

Vakum secara berkala dan menyeluruh.
Termasuk di bahagian sempit dan tersorok.

Berkesan menyedut bulu-bulu kucing kasar dan halus pada lantai, karpet, langsir, sofa dan sebagainya.
Bersihkan bulu juga bersihkan bau yang melekat pada bulu-bulu tersebut.

Selain itu, aktiviti tersebut juga membantu anda mengetahui tempat-tempat rahsia yang tidak sepatutnya kucing kencing.

 

27. Periksa Perabot Rumah

Jangan benarkan kucing berada di atas perabot.

OK, yang ini mungkin lebih mudah disebut dari dilakukan.

Tetapi, dengan sedikit usaha, ia boleh berjaya.

Pemilihan perabot yang bijak akan memudahkan anda untuk jangka masa pendek dan panjang.
Elak sofa dengan permukaan lembut dan berbulu jika boleh.

Selain itu, anda juga boleh alas sofa dengan kain yang lain.

Jika kucing anda mempunyai kawasan yang digemari, buatkan satu binaan khas seperti rumah kadboard, hammock dan sebagainya.

Ianya lebih mudah untuk dibersihkan.

 

28. Cuci dengan Kerap

Cuci cadar, selimut, selimut kucing, katil kucing, tray, sangkar kucing dengan lebih kerap.
Terutamanya jika kucing anda selalu berlegar di atasnya atau bermain dengannya.

Bulu kucing dan tapak kaki yang terdedah pada kotak pasir juga menyumbang kepada bau busuk.

 

29. Baking Soda atas Karpet

Baking soda juga berkesan mengatasi masalah bau.
Dengan menggunakannya sebagai bahan pembersih.
Kerana ia akan menyerap bau.

Boleh digunakan pada karpet yang sering diduduki kucing.

Bagaimana:
Tabur baking soda di atas karpet.
Biarkan semalaman. Jika nak cepat, boleh biarkan selama beberapa jam.
Kemudian, vakum bersih.

Kadangkala lebih mudah untuk menukar karpet kepada jenis yang tidak berbulu.

 

30. Grooming

Grooming pun?
Macam tak ada kena mengena sahaja.

Bau kan datangnya dari kotak pasir.
Tersebar ke tempat lain kerana dibawa oleh kucing.

Bukannya kucing tidak boleh membersihkan badannya.
Kebanyakan kucing pandai menjaga bulu dan membersihkan dengan baik.

Tetapi, apabila anda groom kucing, anda akan membuang bulu-bulu kasar dan halus.
Apabila sudah jatuh gugur bulu yang tidak diperlukan, kucing lebih mudah utntuk bersihkan badannya.

Bila dibersihkan dengan baik, bau tidak lagi melekat pada bulunya dan tidak tersebar dengan rakusnya di dalam rumah.

Bagi kucing yang berbulu tebal, perhatian perlu diberi lebih terutama pada bahagian bontot dan tapak kaki.
Kawsan-kawasan ini perlu ditrim kemas supaya najis tidak tersangkut dan menyebarkan bau busuk.

Boleh jadi, najis yang melekat itu besar sekali.
Sehingga kucing tidak berupaya membersihkannya sendiri.

 

31. Carpet Trap

Penggunaan carpet trap adalah cara yang effektif bagi mengelakkan/mengurangkan bau busuk kucing tersebar jauh ke seluruh kawasan rumah.

Carpet trap adalah alas yang diletakkan di hadapan/sebelah kotak pasir kucing.

Berfungsi sebagai pengelap kaki kucing.
Selepas selesai menguis dan mengorek pasir tersebut.
Oleh itu, debu-debu yang melekat pada kaki kucing akan jatuh pada carpet trap.

Ada juga kucing yang bersepah jalan keluarnya.
Banyak pasir yang melompat sekali bersamanya.

Pasi-pasir yang berlebihan ini juga akan melekat pada carpet trap.
Jadi, sekeliling kotak pasir akan lebih kemas.

Cuma perlu vakum karpet tersebut seminggu sekali untuk membuang segala debu pasir dan najis.

 

Bagaimana dengan Tips Hilangkan Bau Busuk Kucing di Atas?

Sebenarnya masih ada harapan yang besar untuk anda dan kucing kesayangan.

Berapa cara yang perlu digunakan?

Adakah semua sekali?

Bergantung kepada anda.

Tetapi, hanya mengaplikasikan satu teknik sahaja mungkin peluang anda tipis.
Cuba gabungkan beberapa teknik untuk hilangkan bau busuk kucing di dalam rumah.

Ada cara lain yang anda gunakan untuk hilangkan bau busuk kucing?

2 thoughts on “31 Tips Hilangkan Bau Busuk Kucing dalam Rumah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *